Thursday, July 30, 2009

TO BE LEADER

Setiap pemimpin mempunyai pengikutnya sendiri. Samada pemimpin itu seorang yang suci dan membawa agenda kebenaran, mahupun pemimpin yang kejam, hitam laluannya dan menegakkan kebatilan dan kezaliman, semuanya mempunyai pengikut.

Pada pandangan saya, antara faktor yang menyebabkan seorang pemimpin itu mempunyai pengaruh dan pengikut yang ramai adalah kerana faktor karakter. Karakter seorang pemimpin haruslah unik. Unik, istimewa dan berbeza serta menonjol tinggi yang membezakannya dari kebanyakan orang dan pengikutnya.

Satu karakter yang dominan, jelas dan kukuh adalah satu element pengaruh yang cukup kuat dan penting untuk memperolehi pengikut. Seorang pemimpin itu sudah cukup untuk menzahirkan satu sifat uniknya yang dominan samada bersifat keras, berani, lebih mementingkan agenda perjuangan dari diri sendiri dan lain-lain sifat yang ketara.

Mengikut pakar-pakar teori kepimpinan, seorang pemimpin itu mempunyai kekuatan emosi dan empati yang cukup kuat yang mampu dirasai oleh orang lain sehinggakan elemen dalaman ini dapat dizahirkan oleh kata-katanya, ucapanya, perbuatannya, pemikirannya dan perbuatannya. Inilah faktornya.

Selain itu, agenda perjuangan seorang pemimpin juga menjadi salah satu faktor untuk mendapatkan pengikut yang ramai dan setia. Agenda perjuangan tersebut mestilah merakyat sifatnya dan menyentuh kemaslahatan dan kepentingan massa, agama dan negara secara umumnya. Agenda tersebut juga perlu mempunyai ciri-ciri menunaikan aspirasi rakyat disamping mampu memberi harapan sinar yang betul-betul menyakinkan. Tidak mengapa jika agenda itu bersifat retorik kerana semua impian yang agung itu adalah idealis sifatnya. Yang lebih utama di sini adalah isi-isi agenda tersebut perlulah menyentuh kepentigan golongan yang hendak dipimpin serta mampu menaikan semangat,kekuatan dan harapan, lantas membakar emosi dan hati para pengikut.


Seorang pemimpin yang sejati itu perlulah “mengimani” agenda perjuangan beliau sehingga beliau mampu mengorbankan dirinya dan apa sahaja yang berada di sekelilingnya, mempertaruhkan setiap saat dari hidupnya ke arah merealisasikan agenda perjuangannya.

Apabila ini berjaya dijelmakan melalui peribadi seorang pemimpin itu, maka pengikutnya pun akan turut sama bermatian berkorban untuk mencapai ideal perjuangan tersebut. Inilah yang berlaku pada pengikut-pengikut Komunis yang taksub dan fanatik terhadap fahaman Komunisme yang diasaskan oleh Karl Marx. Beliau dianggap tokoh agung oleh pengikutnya bukan sahaja kerana fahamannya tapi juga kerana Marx telah menghabiskan seluruh usia beliau dalam buangan dan hidupnya yang penuh penderitaan dan penyiksaan di dalam menyiapkan buku Das Kapital dan German Ideology yang penuh kontroversi itu. Bagi pengikutnya, Karl Marx adalah pejuang sejati kerana sanggup mengorbankan dirinya dalam menghasilkan ideologinya demi kepentingan rakyat dan pengikutnya.

Namun jika dikaji dengan mendalam, apalah hebatnya ideologi ini sehingga mampu membuatkan pengikutnya sanggup membunuh dan dibunuh demi memenuhi tuntutan semangat komunis ? Seperti yang diketahui, ajaran Karl Marx adalah yang beraqidahkan kepentingan mengurus dan menyusun kehendak dan keperluan rakyat melalui pemusatan kuasa pemerintah pusat (centralize government planning) dan melaungkan setiap warganegara beserta sumbernya adalah hak milik mutlak kerajaan. Bahkan jalan kekerasan adalah salah satu kaedah yang paling berkesan yang “diimani” oleh puak materialist dan athies ini dalam mencapai matlamat Negara Komunis yang sejati.

Lantaran itu jika kehebatan gagasan pemikiran yang dijadikan ini yang menjadi ukurannya atas fahaman ini, maka sungguh tidak ada satupun yang istimewa berbanding dengan aliran pemikiran-pemikiran yang lain. Namun, saya juga beranggapan bahawa fahaman ini telah dapat menarik ramai pengikutnya adalah kerana tunjang gagasannya yang dilihat bersifat 'no vested interest' (tidak berkepentingan peribadi) melainkan untuk menunaikan kehendak rakyat.

No comments: